Syarikat pengeluar makanan ringan berjenama 'Umi Keropok Udang' hari ini menjelaskan keropok udang keluarannya mempunyai logo halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta sijil Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (Mesti) Kementerian Kesihatan.

Pengarah Urusan Assari Enterprise Chuah Hock Guan berkata mereka tampil membuat penjelasan itu selepas syarikat mengalami kemerosotan jualan hampir 50 peratus susulan rampasan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah syarikat lain yang menggunakan pembungkusan hampir sama namun menggunakan logo halal tiruan.

"Keropok udang yang kami hasilkan di sini menggunakan udang segar dari Kuala Sepetang dan dijual dengan harga RM3.50 bagi berat 75 gram.

"Setiap enam bulan sekali syarikat ini akan diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pemerosesan keropok mengikut standard yang ditetapkan selain dijamin kebersihan," katanya dalam sidang media di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai, di sini.

Sehubungan itu, Chuah berkata pelanggan yang beragama Islam tidak perlu khuatir akan aspek suci dan halal produk berkenaan.

Menurutnya syarikat itu memperoleh sijil halal Jakim dan Mesti berkenaan sejak ia beroperasi pada 2008.

Beliau berkata keropok udang keluaran syarikat tersebut turut dieksport ke China sejak 2015.

"Namun, oleh kerana bekalan udang segar sukar diperolehi ekoran nelayan bimbang untuk ke laut dalam keadaan ombak besar (sejak beberapa bulan ini) penghantaran ke China dikurangkan dengan memberikan tumpuan di Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Melaka dan di Perak," katanya.

Pada 5 Januari lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak telah merampas 396 bungkus keropok menggunakan jenama 'Keropok Udang' serta 1,600 unit plastik pembungkusan bernilai RM1,785 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf Jakim dalam operasi di Gopeng.

-- BERNAMA