Pendidikan literasi kewangan perlu dimulakan seawal mungkin terutama sekali ketika negara sedang menuju ke arah ekonomi digital, kata kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, penganjuran Festival LIFT (Literasi Teknologi Kewangan) Putrajaya 2019 dilihat tepat pada masanya untuk memastikan tiada pihak ketinggalan dalam proses adaptasi budaya digital.

Katanya, dengan matlamat memperkukuh celik kewangan dalam kalangan masyarakat, festival tersebut mempamerkan literasi teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan.

"Pendidikan literasi kewangan perlu di semua peringkat, daripada peringkat sekolah kepada institusi pengajian tinggi, sehinggalah membabitkan golongan pekerja atau peniaga dan pesara.

"Ia juga penting untuk peserta dalam industri kewangan dan yang berkaitan mengetahui risiko berkaitan penggunaan Fintech, kerana teknologi terus berubah.

"Pengguna perlu dilengkapi kemahiran untuk mengamalkan kebersihan siber yang baik atau bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa ruang siber," kata Dr Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya.

Tambah beliau, penganjuran festival ini juga diharap dapat digunakan institusi berkaitan untuk memperbaiki sistem sedia ada agar lebih sistematik dan mesra pengguna.

"Bank Negara Malaysia semalam telah melancarkan draf dedahan rangka kerja pelesenan bank digital, dan menyatakan hasratnya untuk mengeluarkan sehingga lima lesen pembaikan digital.

"Inisiatif ini untuk membolehkan penggunaan teknologi yang inovatif dalam sektor kewangan dan saya berharap ia akan memacu inovasi dan menjana kecekapan dengan lebih baik," tambah beliau.

LIFT Putrajaya akan berlangsung sehingga Ahad di Presint 2, Putrajaya, dan disertai kira-kira 100 pemain industri kewangan terdiri daripada institusi kewangan, penyedia aplikasi transaksi urusniaga dan usahawan.