Jenazah kelima-lima mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Kuala Kubu Bharu pagi tadi, akan dikebumikan dalam satu liang lahad malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Zainuddin Ahmad, 57, yang memaklumkan jenazah lima saudara itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan pada jam 9.30 malam selepas solat jenazah.

Menurut Zainuddin, sebaik dimaklumkan berkaitan kematian lima saudaranya itu dia bersama penduduk kampung kemudian melakukan kerja menggali lubang kubur dengan menggunakan jentolak.

"Dapat panggilan daripada keluarga di sana, keluarga yang pergi makan kenduri itu. Kejadian itu dapat diketahui dalam pukul 8.45 pagi masa tu saya besama Jamaludin Jamil adik kepada keluarga yang meninggal ini yang gali liang ini pakai jentera kaut," katanya yang ditemui di Masjid Kampung Ruat di Yan, hari ini selepas menggali kubur.


BACA: Kereta rempuh belakang lori tembikai, 5 sekeluarga maut


Zainuddin berkata, walaupun sudah lama tidak bertemu dua beradik itu, Jamilah dan Bashirah, dia sedih dengan apa yang berlaku.

Katanya, Jamilah mengusahakan kedai makan di kampung ini manakala kakaknya, Bashirah menetap di Sungai Petani.

Terdahulu jemaah masjid kampung itu mengadakan tahlil untuk kesemua arwah yang dihadiri lebih 100 jemaah kampung itu selepas selesai solat Jumaat.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kereta Perodua Myvi dinaiki lima mangsa itu merempuh sebuah lori tiga tan yang membawa buah tembikai di lorong perlahan.

Ketika kejadian kenderaan yang dinaiki kelima-lima mangsa berkonvoi bersama dua lagi kenderaan.

Dalam kejadian 4 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim@Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, meninggal dunia di tempat kejadian.