Takut dan trauma.

Itu perasaan yang masih dirasai penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam susulan berlakunya insiden lif jatuh terhempas dari tingkat lima di Blok C PPR ini pada 2 Ogos lalu.

Biarpun sudah sebulan berlalu, nyata kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri penghuni di pangsapuri-pangsapuri berkenaan.

Bagi seorang penduduk, Mohamad Nasir Zakaria, yang juga seorang pesara, perasaan trauma masih menyelubungi dirinya untuk menggunakan lif di blok kediamannya.

Walaupun rumahnya terletak di tingkat 10, Mohamad Nasir lebih rela menggunakan tangga semasa waktu puncak kerana enggan berhimpit dengan penduduk lain dalam ruang yang kecil itu.

Kata Mohamad Nasir, dia khuatir jika lif tersebut dipenuhi orang, kejadian yang berlaku di Blok C akan berulang.

“Buat masa ini, saya masih trauma untuk menaiki lif. Lif di blok saya misalnya, walaupun baru naik ke tingkat satu, ia sudah terenjut-enjut.

“Pada waktu puncak terutamanya waktu penduduk hendak bekerja dan pulang dari tempat kerja, saya rela tunggu sehingga kurang sibuk ataupun saya memilih untuk menaiki tangga dengan perlahan,” ujarnya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Isnin.


Seorang lagi pesara, Mohd Faizal Lim Abdullah pula berkata, penggunaan lif tidak dapat dielakkan terutamanya bagi mereka yang sudah berlanjut usia.

“Kami masih berasa trauma dan walaupun mangsa yang terlibat dalam insiden pada 2 Ogos itu bukan keluarga atau saudara kami, kami tetap bimbang.

“Kami memang berharap agar pihak berkuasa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat menukarkan semua lif yang bermasalah supaya kami dapat hidup dengan tenang,” katanya penuh mengharap.

Walaupun mengakui tahap keselamatan dan penyelenggaraan lif di rumah pangsa kos rendah berkenaan semakin bertambah baik selepas insiden tersebut, namun, rata-rata penduduk di situ mengharapkan pihak berkuasa dapat menggantikan jentera mengangkut yang baharu buat penduduk.

“Harapan saya adalah supaya penyelenggaraan lebih dapat dilakukan dengan lebih kerap dan lebih penting sekali, penukaran lif.

“Ini kerana terdapat sesetengah lif yang kami naik itu ada yang bergegar dan perlu ditukar,” kata suri rumah, Ema Mazli pula.

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kerinchi, Abdul Rahim Ahmad yang menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar lebih prihatin dan mempercepatkan proses penukaran lif PPR Kerinchi yang sudah berusia lebih 12 tahun itu.

“Tekanan harus diberikan kepada DBKL supaya mereka lebih prihatin dengan isu lif ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.

“Bagi pihak berkuasa yang menjaga bahagian penyelenggaraan, mereka perlu peka dan mengambil perhatian yang sewajarnya.

“Lif ini beroperasi selama 24 jam dan kami (penduduk) tidak tahu bila ia akan rosak atau jatuh,” jelas Abdul Rahim lagi.

Lif di flat PPR ini sudah berusia 12 tahun dan secara relatifnya sudah mencapai tahap 'penghujung usia' memandangkan jangka hayat yang ideal untuk sesebuah lif ialah antara 10 hingga 15 tahun dan bergantung pada penggunaannya.


Untuk rekod, lapan individu cedera apabila lif yang dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari ketinggian 15 meter di PPR Kerinchi, Pantai Dalam pada 2 Ogos lalu.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu mengakibatkan empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki manakala empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki.

BACA: Kerana 'sayang', motosikal diangkut ke dalam lif