Golongan majikan tidak seharusnya terus berkeras untuk tidak membayar levi pekerja asing dan mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya mereka harus juga memikirkan aspek pembangunan dan kesejahteraan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.

Beliau berkata di sebalik sokongan dan komitmen kerajaan yang berterusan untuk menyelesaikan isu ini, golongan majikan lebih gemar berdolak-dalih dan memberi alasan dari semasa ke semasa, sekali gus menyukarkan keputusan dicapai kesemua pihak berkepentingan.

“Dahulu, alasan majikan ialah kerana mereka tak bersedia. Beri alasan daripada aspek persediaan, pemahaman dan sebagainya. Tapi hari ini (mereka) beri alasan berlainan, iaitu katakan levi ini akan menaikkan kadar inflasi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Tegas Abdul Halim, keengganan majikan membayar levi pekerja asing yang berada di sini, mengakibatkan segala segala prasarana yang dibina untuk kesejahteraan rakyat, boleh dinikmati oleh golongan pekerja asing.

Akibatnya, tambah beliau lagi, rakyat Malaysia sendiri yang akhirnya terpaksa menanggung kos penggunaan prasarana berkenaan melalui kutipan cukai dan sebagainya.

Jadi majikan harus ada semangat kebangsaan, nasionalisma, supaya mereka faham bukan untung sahaja yang dicari, tapi pembalikan daripada segi kesejahteraan rakyat,”
Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia sebelum ini menetapkan 1 Januari 2018 sebagai tarikh permulaan bagi pelaksanaan pembayaran levi oleh para majikan.

Kadar pembayaran levi pekerja asing yang ditetapkan di Semenanjung Malaysia bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan ialah RM1,850, perladangan dan pertanian (RM640) dan pembantu rumah adalah antara RM410 hingga RM590 (mengikut bilangan).

Bagi Sabah dan Sarawak pula, kadar pembayaran levi pekerja asing bagi sektor perkilangan dan pembinaan ialah RM1,010, perkhidmatan (RM1,490), perladangan (RM590), pertanian (RM410), dan pembantu rumah adalah antara RM410 hingga RM590.

Namun, semalam, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memberi alasan ia akan mengakibatkan kenaikan harga barang secara mendadak dalam pelbagai sektor, di samping menyebabkan peningkatan aliran keluar ringgit sebanyak RM4 bilion setahun.

Mengulas mengenai alasan itu, Abdul Halim berkata salah satu cara untuk menghalang kenaikan inflasi seperti MEF dakwa ialah memastikan pekerja asing diberikan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jadi ini salah satu daripada dua perkara yang dapat tentukan duit-duit yang mereka bekerja di sini tidak terus mengalir luar. Sebaliknya ia akan terus mengalir dalam kerajaan, SOCSO (Perkeso) dan KWSP, untuk kegunaan mereka di sini. Dan duit ini boleh kita laburkan demi pembangunan negara,” katanya lagi.