Pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dalam kalangan pemandu perkhidmatan e-hailing setakat ini masih kurang, meskipun Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran masa untuk berbuat demikian.

Timbalan Menteri Datuk Kamaruddin Jaafar berkata kerajaan mengalakkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV sebelum tarikh penguatkuasaannya 12 Julai ini.

"Kita mengalakkan supaya mereka yang terlibat menjadi pemandu e-hailing ini segera melalui proses perolehan lesen PSV.

"Masih belum ramai lagi...Jadi kita cuba mengalakkan malah memberi kemudahan kepada mereka melalui proses ini," katanya kepada Bernama selepas Majlis Infaq Ramadan di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan pemandu perkhidmatan e-hailing, terhadap langkah yang diambil kementerian itu yang bersedia memberi kelonggaran masa kepada mereka untuk menghabiskan kursus enam jam bagi mendapatkan lesen PSV.

Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata susulan langkah berkenaan tiada alasan untuk mereka tidak mengambil lesen PSV.

Beliau juga berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang didapati tidak memiliki lesen PSV selepas ia dikuatkuasakan.

"Kementerian telah membuat keputusan bahawa hanya pemegang lesen PSV sahaja boleh menjadi pemandu e-hailing. Sekiranya mereka tidak mempunyai lesen secara tidak langsung, mereka telah melanggar peraturan menjadi pemandu.

"Semua ini tertakluk dalam undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada mereka adalah pemandu teksi dan pemandu e-hailing tidak mempunyai lesen, maka kesalahan dan hukuman tetap sama," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Kamaruddin turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 121 golongan asnaf dari seluruh negeri ini.


-- BERNAMA