Lembu Limousin di Pavilion Keusahawanan Johor dan Agro Johor menjadi tumpuan pengunjung di Ekspo Johor Berkemajuan yang berlangsung di sini bermula Jumaat hingga 14 Oktober ini.

Lembu berotot yang bernama Abang Sani itu mempunyai berat antara 916 kilogram dan boleh mencapai sehingga 1 tan.

Pemilik Abang Sani yang juga Pengerusi Generasi Transformasi Ruminan (GTR) Zon Selatan, Kamarruzaman Abdul Jalil berkata baka limousin ini adalah dari Perancis tetapi telah dikacukkan dengan lembu tempatan.

Katanya, lembu itu mudah jinak dan mempunyai kualiti sperma yang tinggi bagi tujuan permanian beradas terhadap betina daripada baka lembu lain.

“Kunjungan di tempat lembu ini memang tidak putus-putus. Orang semua nak tengok Abang Sani. Abang Sani ini seberat 916kg dan boleh mencecah sehingga 1.2 tan.

“Di sini kita menjaga mengajar orang ramai tentang cara-cara menjaga lembu dengan baik agar lembu sentiasa sihat dan tidak stres,” ujar Kamarruzaman.

Kamarruzaman berkata nama Abang Sani diperoleh sewaktu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK2017) dan Festival Makanan Malaysia di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), September lalu.

Selain baka limousin, pelbagai jenis baka lembu lain turut dipamerkan.

Antaranya adalah lembu dari baka Brahman kacuk Charolais, Murray Gray, Hereford, kacukan Belgium Blue, Brahman dan pelbagai lagi.