Polis memberkas seorang lelaki warga Kanada selepas dipercayai mencabul seorang wanita warga Australia dalam sebuah bas ekspres semasa dalam perjalanan di Telupid, pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.47 pagi, suspek berusia 69 tahun mencabul mangsa, 21 tahun, ketika duduk bersebelahan di dalam bas semasa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda berkata, mangsa menyedari suspek memasukkan tangan ke dalam pakaian wanita terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah meraba bahagian paha dan telah menyentuh seluar dalam mangsa.

"Wanita itu kemudiannya bertindak memarahi suspek lalu berlaku kekecohan sebelum pemandu bas menukarkan tempat duduk suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Kasim, suspek telah diserahkan kepada pihak polis sebaik tiba di Sandakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.