Seorang lelaki tempatan ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja seberat 1,158 gram dalam serbuan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Dalam serbuan jam 3.40 petang Rabu, suspek berusia 40-an yang berasal dari daerah Papar ditahan bersama dadah tersebut tersebut hasil daripada risikan dan maklumat orang awam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis berjaya mengesan lelaki itu di sebuah lokasi berhampiran Taman Dixon, Jalan Lintas sebelum menahannya.

"Ketika serbuah suspek sedang berdiri pintu kereta bahagian pemandu jenis Subaru Impreza berwarna putih yang mana pada ketika itu pintu di bahagian pemandu suspek dalam keadaan terbuka.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan dinaiki suspek berjaya menemui sebuah beg hitam di bawah pelapik kaki yang mana di dalamnya mengandungi dua ketulan mampat dan 12 ketulan kecil berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis dengan berat 214 gram," katanya.

Tambah Zaini, susulan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan di rumah suspek di Taman Chantek, Luyang dan menemui beberapa paket dadah jenis ganja. Jumlah keseluruhan adalah 1,158 gram dengan nilai RM2,500.

“Dari segi hukuman jika sabit kesalahan di mahkamah seberat 1,158 gram dadah ini kesalahan membawa Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan,” katanya.