Seorang lelaki tempatan dipercayai mendalangi aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing di sebuah hotel butik di Tampoi, dekat sini, kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, ia adalah susulan dari tangkapan 14 wanita warga asing di hotel berkenaan, pada Isnin.

"Pada serbuan pada pukul 8.30 malam itu, kita telah menahan seramai 13 orang wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Thailand, berusia antara 20 tahun dan 40 tahun.

"Kita turut merampas sejumlah kondom pelbagai jenama, 17 unit telefon bimbit dan wang sebanyak RM3,510 daripada semua wanita terbabit, dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral itu," kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Mohd Taib turut mendedahkan wanita-wanita berkenaan turut mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap pelanggan.

"Aktiviti ini dikesan dijalankan oleh wanita-wanita terbabit melalui aplikasi WeChat, sejak awal bulan ini," tambah beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, kesemua mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39(B) Peraturan Peraturan Imigresen 1963, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya, serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA