Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Myvi dipandunya yang terbabas sendiri dalam nahas di Kampung Melalin, Jalan Telipok, Tenghilan, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian jam 3.38 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata siasatan awal mendapati ketika insiden, mangsa dikatakan sedang memandu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tuaran.

"Apabila tiba di jalan kampung tersebut, mangsa yang disyaki memandu laju telah melanggar takungan air di atas jalan.

"Myvi mangsa hilang kawalan terbabas ke sebelah kiri bahu jalan dan melanggar simen konkrit parit di bahu jalan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas serta masuk ke dalam parit.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah terkeluar daripada kenderaan dan terjatuh dalam parit berhampiran dengan kenderaannya," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.