Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas tidak sedarkan diri dalam pergaduhan dengan tiga lelaki di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Perkasa pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.30 malam.

Jelasnya, kejadian dipercayai bermula apabila mangsa menahan seorang wanita daripada memasuki keretanya di parkir.

“Suami kepada wanita berkenaan dan dua lagi adiknya datang ke situ, sebelum tercetus pergaduhan antara mangsa dan tiga lelaki berkenaan.

“Kemudian, mangsa yang didakwa memegang batang kayu, dikatakan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Muhammad Najib berkata, berdasarkan siasatan awal, terdapat kesan kecederaan pada muka mangsa yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Susulan kejadian, polis menahan tiga lelaki berkenaan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.