Lelaki yang ditahan selepas kereta dipandunya merempuh gerai nasi lemak dan kuih muih sehingga menyebabkan seorang peniaga maut manakala suaminya cedera parah di Jalan Bertam Indah, di sini semalam direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk berusia 31 tahun itu direman untuk membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.

"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes lelaki yang bekerja sebagai tukang besi berkenaan dan selepas ini akan menghantar kertas siasatan itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.

Katanya ujian air kencing mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi itu positif dadah jenis ganja dan tiada lesen memandu, sementara kenderaan yang digunakannya tiada cukai jalan.

Dia kini disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Peniaga Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari semalam semasa menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas dilanggar kenderaan tersebut dalam kejadian pada kira-kira 10 pagi yang turut menyebabkan suaminya, Mat Subri Saad, 44, cedera parah di kepala dan tangan dan kini dirawat di hospital yang sama.

BACA: Penjual kuih maut dirempuh pemandu mabuk, khayal ganja

Dalam kes lain, Noorzainy berkata seorang pelajar lelaki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerugian RM18,983 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh satu minggu.

Menurutnya mangsa berusia 20 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan yang diterimanya menerusi aplikasi Whatsapp 4 Jun lepas daripada seorang individu yang tidak dikenali sebelum menghubungi nombor telefon yang diberikan.

"Dalam perbualan telefon itu mangsa telah diperdayakan oleh individu berkenaan yang mendakwa dirinya seorang ejen syarikat pelaburan dan meminta mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun yang diberikan," katanya.

Katanya mangsa kemudiannya diminta memasukkan lagi sejumlah wang yang lebih besar supaya dapat memperoleh keuntungan lebih lumayan sehingga mangsa terpedaya dan melakukan 10 lagi pemindahan wang keseluruhannya berjumlah RM18,983 di Mak Mandin dan Butterworth sebelum menyedari dirinya ditipu.

"Mangsa membuat laporan polis semalam dan siasatan mendapati wang yang dimasukkan ke dalam akaun suspek itu dipinjam dari bapanya yang mendapat duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya sambil menambah kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA