Seorang lelaki melepaskan satu das tembakan sebelum melarikan wang tunai RM20,000 dari sebuah bank di Jalan SS 15/4G, Subang Jaya, di sini, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman.

Beliau berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian kira-kira 4.30 petang Khamis.

"Suspek lelaki bersenjatakan sepucuk pistol telah masuk ke dalam bank dan menolak pengawal keselamatan sebelum melepaskan satu das tembakan ke siling bank itu," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suspek kemudian meluru ke kaunter dan mengarahkan pekerja bank menyerahkan wang sebelum meloloskan diri, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat, katanya.

Rasikin berkata pihak forensik menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu melepaskan tembakan ketika rompakan dan Seksyen 392 serta 397 Kanun Keseksaan (rompak dengan senjata).

"Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat DSP Yeoh Chun Shyan di talian 03-78627222," katanya.

-- BERNAMA