Stephen Warde dari Ireland dilaporkan hilang ketika melancong ke Malaysia sejak hujung bulan lepas dan hasil siasatan setakat ini, polis percaya lelaki itu masih berada di negara ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu memasuki Malaysia bersendirian pada 15 Nov lepas dan menyewa sebuah rumah di Mercu Summer Suite di Jalan Sultan Ismail.

Kali terakhir beliau dilihat ialah pada 28 Dis lepas, sehari sebelum tamat tempoh sewaan beliau di rumah itu.

“Dia sepatutnya keluar dari rumah sewa itu pada 29 Dis 2018, tetapi tidak berbuat demikian...barang-barang miliknya masih berada di rumah itu. Polis kini giat mengesan lelaki itu,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Bercakap pada sidang akhbar di sini pada Jumaat, beliau berkata kehilangan lelaki Ireland itu masih dalam siasatan dan hasil pemeriksaan mendapati pasport lelaki itu belum melalui pemeriksaan Imigresen untuk keluar dari negara ini.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Pusat Kawalan Daerah Dang wangi 03-26977099 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Stephen Warde hilang di Malaysia apabila anggota keluarganya gagal menghubungi lelaki itu sejak tiga minggu lepas.

Sementara itu, Mazlan berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan kes anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang ditahan kerana positif ganja pada 5 Jan lepas dan kini menunggu keputusan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 5 Jan lepas, lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kepada Menteri Pertahanan ditahan positif ganja di pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Terdahulu pada sidang akhbar itu, Mazlan berkata polis melumpuhkan 'Geng Along Besi' yang aktif mencuri besi penutup longkang di sekitar Putrajaya apabila menahan dua lelaki berusia 32 dan 37 tahun dalam serbuan di Taman Bukit Mewah Ampang, Sabtu lepas dan Taman Prima Kajang, 17 Jan lepas.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu dua premis perniagaan barang lusuh di Sungai Chua, Kajang dan menahan dua pemilik premis terbabit serta lima pekerja warga asing.

Polis percaya berjaya menyelesaikan kehilangan 332 besi penutup longkang di sekitar Presint 8, Presint 11 dan Taman Putra Perdana, Presint 1 dekat sini, yang dianggar bernilai RM29,880 dan polis turut menyita dua kereta, Perodua Alza dan Proton Wira, katanya.

-- BERNAMA