Seorang buruh ladang sawit warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya.

Tertuduh, Junianto, 29, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa membunuh warga tempatan, Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pondok tidak bernombor di Kampung Beril, Paka, jam 2.45 pagi, 12 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh .

Dalam kejadian itu seorang buruh ladang sawit dari Kampung Bukit Nangka Santong, Paka cedera parah selepas ditetak dengan parang oleh rakan sekerjanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka, Dungun.

Manakala isterinya, Rosnah Muhamed, 34, turut cedera di tangan akibat ditetak suspek.

Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 9 pagi pada hari kejadian ketika bersembunyi di belakang rumah kongsi berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.