Malaysia mencatatkan pertambahan dua lagi kes kematian melibatkan COVID-19 sehingga tengah hari Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kepada 111 kes.

Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

"Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.

"Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 Mei 2020 jam 10.36 pagi," tambahnya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, 58 kes positif COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 5,281 kes (77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa sama, 37 kes baharu dilaporkan, dimana 21 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

"Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 37 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat empat kes import dan 33 kes penularan tempatan.

"Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,387 kes," ujarnya.


Sehingga kini, seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.