Seorang lelaki yang mendakwa beliau seorang doktor dan sedang berjoging dalam sebuah video yang tular, bukan seorang kakitangan Institut Jantung Negara (IJN).

IJN dalam satu kenyataan hari ini, menuntut pemilik akaun Twitter @khalidismath untuk menarik balik ciapan tersebut dan memohon maaf kerana mencemarkan nama baik IJN dan kakitangannya dengan membuat dakwaan sedemikian.

IJN mengambil perkara ini secara serius kerana sebarang tuduhan terhadap IJN atau kakitangannya akan merosakkan reputasi IJN sebagai sebuah pusat kardiovaskular dan toraks utama di negara ini.

"IJN mengamalkan toleransi sifar terhadap perkara terbabit dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang perlu ... IJN menggesa setiap orang untuk bertanggungjawab dan berhati-hati apabila mahu menyebarkan maklumat," menurut kenyataan tersebut.

Dalam video yang tular itu, seorang lalaki yang mendakwa beliau seorang doktor telah ditegur pihak polis, kerana berjoging di dalam taman disebalik Perintah Kawalan Pergerakan telah dikeluarkan sehingga hujung bulan ini, di mana lelaki itu membantah dengan mengatakan beliau perlu berjoging bagi menjaga kesihatan dirinya.

-- BERNAMA