Malaysia menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk melibatkan diri dalam langkah-langkah balas yang lebih memberi impak dan substantif untuk mencegah ekstremisme ganas.

Ketika menyuarakan kebimbangan Malaysia tentang keperluan bagi pencegahan ekstremisme ganas pada sesi ke-205 lembaga eksekutif UNESCO di Paris pada Selasa, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata usaha yang lebih meluas untuk memupuk keamanan dan saling menghormati di kalangan negara harus digerakkan.

"Ketika kita berusaha ke arah keamanan dan pembangunan mampan, kanak-kanak dan belia di seluruh dunia terdedah kepada bibit-bibit ekstremisme.

"Mereka terdedah kepada ideologi yang menjurus kepada kebencian, dan maklumat atau salah maklumat yang boleh mencetuskan reaksi yang tidak diingini," katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada mesyuarat itu.

Teks ucapan beliau dihantar ke sini, pada Selasa.

Maszlee menambah bahawa walaupun ramai yang menangani ekstremisme melalui pelbagai cara, namun Malaysia melihatnya sebagai sebahagian daripada gejala.

"Oleh itu, untuk mengekang ekstremisme ganas puncanya harus ditangani. Malaysia percaya bahawa untuk memerangi ideologi radikal, kita memerlukan langkah balas yang lebih berkesan dan substantif dengan memupuk keamanan dan saling menghormati secara meluas di kalangan negara-negara, " katanya.

Beliau juga melahirkan harapan Malaysia untuk melihat lebih banyak dialog antara budaya diusahakan sebagai sebahagian daripada advokasi dan pembangunan kapasiti ke arah dunia yang lebih aman lagi harmoni.

-- BERNAMA