Gerakan #MyDigitalMaker, inisiatif akademik awam-swasta yang bermula dua tahun lepas, telah memberi manfaat kepada lebih 700,000 belia di seluruh negara dengan membantu mereka menyediakan diri untuk pekerjaan pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bermatlamat untuk mewujudkan negara yang mempunyai tenaga kerja ekonomi digital dengan mengubah pengguna digital menjadi pengeluar digital, serta untuk menangani keperluan belia Malaysia mempunyai kemahiran penting untuk kekal relevan dalam tenaga kerja masa depan.

"Kami tidak berhasrat mengurangkan usaha kami. Kami mendedahkan lebih banyak belia kepada kreativiti dan inovasi digital, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana minat boleh menjadi relevan kepada pekerjaan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran #MyDigitalMaker Fair 2019 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

"Acara ini adalah peluang bagi ibu bapa mendedahkan anak-anak mereka kepada pengekodan, e-sukan dan pembangunan permainan digital.

Semua rakan kongsi ekosistem kita berada di sini hari ini, di bawah satu bumbung, dan orang ramai boleh datang dan memahami apa kerjaya baru dan sejauh mana baiknya untuk menyediakan anak-anak mereka bagi tujuan ini," tambahnya.

Inisiatif #MyDigitalMaker MDEC disokong oleh Kementerian Pendidikan, sektor awam dan swasta, universiti, syarikat pemula niaga dan pertubuhan bukan kerajaan.


-- BERNAMA