Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi keterangan kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selama lebih 30 jam.

Proses rakaman keterangan hari ini, yang merupakan hari keempat berakhir sekitar 7.15 malam di mana Riza dilihat keluar daripada Ibu Pejabat SPRM itu jam 7.35 malam.

Ia menjadikan keseluruhan tempoh proses rakaman keterangan oleh SPRM terhadap Riza mengambil masa hampir 32 jam.

Pagi tadi, Riza yang berusia 48 tahun itu tiba pada jam 9.45 pagi.

Riza yang hadir menaiki kereta jenis Audi kemudian dilihat keluar 1.10 petang sebelum memasuki semula pada jam 2.40 petang.

Apabila kereta yang dinaiki Riza dilihat keluar pada jam 7.35 malam, pihak media cuba untuk mendapatkan reaksi namun Riza enggan menurunkan cermin tingkapnya.

Buat masa ini, tiada kepastian dari pihak SPRM sama ada Riza akan dipanggil semula untuk direkodkan keterangan.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut mengesahkan bahawa Riza hanya diambil keterangan dan tiada keperluan untuk menahannya setakat ini.