Lebih 30,000 umat Islam menyertai Himpunan Perpaduan Ummah di Pekan Kampung Gajah, malam ini, bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Himpunan digerakkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Pembela Ummah Perak dengan kerjasama pelbagai NGO, Pas dan UMNO.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Pas Perak, Razman Zakaria.

Mereka turut melancarkan tabung untuk menganjurkan perhimpunan yang lebih besar di Kuala Lumpur pada 8 Disember yang dirancang Pas.

Zahid di dalam ucapannya mengumumkan kesediaan UMNO dibawah kepimpinannya akan bekerjasana dengan Pas, khususnya dalam isu berkaitan Islam.

Menurut beliau, perhimpunan ummah akan dianjurkan di setiap negeri di samping turut mengambil bahagian dalam perhimpunan 8 Disember di Kuala Lumpur.

Abdul Hadi di dalam ucapannya pula berkata, sejarah telah membuktikan Pas dan UMNO boleh bersatu apabila terdapat isu kepentingan bersama, seperti ketika menuntut kemerdekaan negara.