Seramai lebih 3.6 juta individu telah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera sejak ia dilancarkan pada 20 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata aplikasi tersebut menjadi satu pencapaian yang boleh dibanggakan demi merealisasikan proses digitalisasi kesihatan di negara ini.

Antara fungsi MySejahtera yang paling banyak digunakan adalah hotspot tracker; penilaian kendiri; statistik terkini bagi COVID-19 di Malaysia, negara ASEAN serta seluruh dunia.

“MySejahtera Check-In adalah fungsi terbaharu yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun 2020 dan telah digunakan secara meluas mulai 6 Jun 2020.

“Fungsi ini telah mendapat sambutan hangat, di mana dalam masa hanya 13 hari sebanyak 119,837 premis perniagaan telah mendaftar untuk QR code dan sebanyak 10,006,857 check-ins dicatat dari seluruh negara,” katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Jelas beliau, hotspot tracker merupakan ciri yang paling popular dalam kalangan pengguna selepas ia diguna sebanyak 13.3 juta kali sejak pelancaran aplikasi ini.

Katanya, ciri aplikasi tersebut boleh digunakan untuk merancang pergerakan yang boleh membantu pengguna mengelakkan kawasan Zon Merah.

“Penilaian risiko kesihatan untuk tanggungan (misalnya ibubapa dan anak) boleh dilaksanakan dengan mudah; penilaian kendiri boleh dijalankan dari semasa ke semasa dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mengalukan orang ramai yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera supaya berbuat demikian.