Malaysia konsisten dengan pendirian Laut China Selatan perlu kekal sebagai perairan keamanan dan perdagangan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pertikaian mengenai perairan itu perlu diselesaikan di meja rundingan berdasarkan undang-undang termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

"Dengan mengenal pasti isu-isu sensitif dan kompleks, semua pihak mesti bekerjasama untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

"Dalam tempoh getir ini, penting untuk kita memperhebatkan usaha membangun,
mengekalkan dan meningkatkan kepercayaan bersama untuk kepentingan rantau dan panduduknya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 secara maya yang dipengerusikan Pengerusi ASEAN Tahun 2020, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc di Hanoi pada Jumaat.

Isu Laut China Selatan sebelum ini menjadi hangat apabila China mendakwa memiliki 90 peratus wilayah perairan tersebut, dalam lingkungan kawasan Sembilan Garis Putus gagasannya.

Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kamboja, dan Thailand juga antara negara yang terletak dalam wilayah yang dituntut China itu.