"Kalau kita tidak ajar, mereka besar kepala."

Itu tegas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPT) yang mahu lesen pengusaha hotel yang melarang pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita di bahagian kaunter khidmat pelanggan dibatalkan.

Malah, tegasnya, larangan oleh sesetengah pengusaha hotel tersebut dianggap tidak masuk akal dan ibarat berada di 'zaman batu', sekali gus tidak menghormati kedaulatan Malaysia.

"Batal lesen mereka, melainkan mereka ubah cara pentadbiran mereka, sebab kalau kita (Kerajaan) tidak ajar mereka ini, mereka besar kepala... datang ke negara orang, nak tindas orang.

"Ini rasa saya seperti hidup di zaman batu. Negara kita ini walaupun kecil, tapi kita berkembang. Ajar mereka, panggil mereka.

"Kalau mereka mahu berniaga, buat cara kita, jangan buat cara mereka. Ajaran pertama adalah batal lesen mereka supaya mereka sedar perbuatan mereka tidak baik," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini bagi mengulas mengenai isu larangan sesetengah pengusaha hotel terhadap pekerja wanita bertudung di kaunter khidmat pelanggannya.

Di samping itu, Bung Moktar turut menegaskan bahawa kecantikan seseorang pekerja dalam sektor perhotelan tidak mempunyai kaitan dengan penampilan diri mereka.

"Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga," katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut mengesyorkan supaya kerajaan melihat isu tersebut secara serius dengan menggubal akta dan peraturan baharu bagi menangani permasalahan ini yang jelas merupakan satu bentuk penindasan kepada wanita Islam bertudung.

Bung Moktar berkata, beliau yakin rakan-rakan daripada ahli Parlimen lain akan turut bersetuju dan menyokong akta yang bakal dibawa tersebut.

Baru-baru ini, Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan mengenai aduan kakitangan hotel yang berdepan diskriminasi selepas pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menerusi kenyataannya mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan dengan menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.