Laporan lengkap hasil siasatan terhadap kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Ogos lalu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata laporan penuh yang lengkap hasil siasatan tersebut sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Peringkat Kementerian yang dianggotai oleh pakar-pakar dari Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) seperti yang telah diumumkan pada 26 Ogos lalu.

"Kerajaan juga telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mempertingkatkan keselamatan sistem rangkaian di KLIA dan juga mengarahkan CAAM untuk menyelaras dan memantau usaha bagi mempertingkatkan keselamatan sistem tersebut.

"Sistem rangkaian tersebut masih dipantau oleh pengendali KLIA iaitu MAHB sejak sistem tersebut distabilkan pada 24 Ogos lalu," katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di dalam laman web Parlimen hari ini.

Jawapan bertulis tersebut bagi menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) yang ingin tahu status terkini penyiasatan terhadap kegagalan sistem pengurusan keseluruhan lapangan terbang di KLIA pada Ogos lalu dan jika benar terdapat sebarang unsur khianat atau sabotaj.

Loke berkata selain menyiasat punca sebenar permasalahan yang berlaku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Peringkat Kementerian juga akan mengenalpasti implikasi serta kesan terhadap perkhidmatan di lapangan terbang merangkumi TAMS.

-- BERNAMA