Spesimen lapan warga China di Johor yang tiba bersama mangsa pertama koronavirus yang positif di Singapura belum disahkan keputusannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, spesimen terbabit baharu tiba di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk diuji kira-kira jam 8:00 malam tadi.

Justeru, katanya keputusan bahawa pesakit itu negatif seperti yang dimaklumkan dalam satu sidang media di Johor Bahru belum muktamad.

Sebaliknya, jelas Dr Noor Hisham, kesemua mangsa ketika ini belum disahkan negatif dan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya pada Sabtu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan lapan warganegara China itu bebas daripada dijangkiti koronavirus.

Ia selepas hasil ujian klinikal mendapati kesemua mereka sihat dan tidak menunjukan sebarang gejala jangkitan.