Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan berhubung perjanjian pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, Ahli Parlimen Pekan itu juga mungkin terlibat di dalam kes berkenaan.

"Kita kena kumpulkan dahulu semua bukti dan ambil beberapa keterangan dahulu daripada beberapa individu lain dan apabila tiba masa sesuai, kita akan panggil dia (Najib)," katanya kepada pemberita selepas sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azam berkata bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula akan dipanggil badan pencegahan rasuah itu pada Ahad ini untuk dirakam keterangan.

"Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kita sudah ambil keterangan semalam, manakala Hishammuddin akan datang ke pejabat SPRM Ahad ini," jelas beliau.

Siasatan mengenai perjanjian pertukaran tanah dilancarkan selepas audit Kementerian Pertahanan mendapati terdapat penglibatan bekas Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam urusan itu.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika pembentangan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan di Dewan Negara pada 9 Mei lalu.

BACA: SPRM selidik elemen salah guna dalam dokumen pertukaran tanah Mindef