Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan beliau bersama lima ahli Parlimen lain akan bersama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan kekal sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, selain Dr Mahathir sebagai Ahli Parlimen Langkawi, ia turut ditandatangani Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Menurut beliau lagi lagi, mereka tidak akan bergabung dalam mana-mana gabungan, sama ada Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahupun Pakatan Harapan yang diterajui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

“Kami juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuh Kerajaan yang tidak dipilih rakyat,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Dr Mahathir berkata, mereka masih berpegang teguh kepada perjuangan asal iaitu menolak kembalinya Kerajaan kleptokrasi.