Polis mengenal pasti beberapa kumpulan gangster didalangi warga asing yang aktif melakukan peras ugut di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, kumpulan yang dianggotai mengikut etnik dan negara asal masing-masing itu dipercayai masih bergiat aktif walaupun pihaknya sudah mengambil tindakan sebelum ini.

Katanya, polis kini dalam peringkat mengumpul maklumat termasuk mengenal pasti ahli dan kegiatan dilakukan mereka sebelum mengambil tindakan susulan.

“Sekarang ini kita menjalankan urusan mengindeks mereka ini iaitu mengenal pasti ahli kumpulan dan tempat mereka bersembunyi.

“Kita akan membuat operasi terhadap gangsterism ini dalam masa terdekat untuk kita tangkap mereka ini supaya mereka tidak melakukan yang tidak diingini seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Polis Bersama Pengusaha Pasar Borong dan Ketua Polis Kuala Lumpur siang tadi.

Datuk Mazlan berkata indeks jenayah di Pasar Borong Kuala Lumpur telah menurun sebanyak 54 peratus pada tahun ini.