Kualiti udara yang merosot di beberapa kawasan di seluruh negara hari ini berikutan jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemantauan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 68 titik panas di Kalimantan dan 10 titik panas di Sumatera, manakala satu titik panas di kesan di Pahang.

"Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 17 Oktober menunjukkan sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Sumatera Tengah dan Selatan menghala ke Selat Melaka, manakala sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Kalimantan Tengah menghala ke barat Sarawak dan timur Sabah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keadaan itu dipengaruhi oleh tiupan angin dari arah Barat Daya yang masih berlaku membawa jerebu berikutan terdapatnya dua ribut tropika yang aktif di Lautan Pasifik.

"Pada masa sekarang, terdapat dua ribut tropika yang aktif di Lautan Pasifik, iaitu Ribut Tropika Koppu dan Ribut Tropika Champi. Kehadiran dua ribut tropika ini akan mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau, termasuk Malaysia.

"Dalam tempoh itu, taburan hujan dijangka berkurangan kerana kawasan serantau negara akan dipengaruhi oleh tiupan angin Barat Daya dengan kelajuan sederhana," tambahnya.

Menurutnya, Kerajaan Indonesia amat menghargai bantuan Malaysia dalam membekalkan pesawat untuk membantu aktiviti pemadaman menerusi operasi pengeboman air di Sumatera Selatan yang bermula 11 Oktober lalu membabitkan mobilisasi pesawat 'Bombardier CL 415" milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, beliau akan menghadiri Mesyuarat ke-11, Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 28 Oktober ini di Hanoi, Vietnam.

"Ini merupakan mesyuarat pertama kesemua negara anggota Asean meratifikasikan perjanjian itu.

"Malaysia akan terus menggesa dan berkerjasama dengan pihak Indonesia untuk mencari penyelesaian dan pencegahan jerebu merentas sempadan secara lebih berkesan," katanya.