Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, telah secara tidak langsung mempengaruhi pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas) untuk membina tambahan 120 unit pangsapuri bagi dijual kepada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi kesembilan pendakwaraya, Ab Salim Mansor, 61, yang juga bekas Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, mengakui perkara demikian ketika disoal balas ketua peguam bela Datuk Tan Hock Chuan di Mahkamah Jenayah Tinggi 2 hari ini.

Peguam bela: Setujukah jika saya cadangkan Menteri (Tengku Adnan) telah ‘persuade’ (mempengaruhi) ... atau menekan pemaju (Aset Kayamas) untuk membina 120 unit untuk dijual kepada staf DBKL, dan demi kebaikan staf DBKL?

Ab Salim: Setuju.

Peguam bela: Kita tahu bahawa baki 307 unit dijual pada harga RM198,000 dan tiap-tiap rumah yang dibina (khas) untuk staf, pemaju akan rugi RM48,000. Jadi setuju tak tiap-tiap unit pada staf DBKL, pemaju rugi RM48,000?

Ab Salim: Setuju.

Peguam bela: Semalam Tan Sri Amin Nordin Abd Aziz (bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur) memberi tahu nilai pasaran rumah itu adalah sekitar RM250,000 atau di bawah RM300,000. Kalau ambil angka itu, tiap-tiap unit untuk staf DBKL pemaju rugi RM100,000...120 unit, maknanya kerugian RM12 juta.

Ab Salim: Ya setuju.

Perbicaraan memasuki hari ketiga di mana, Tengku Adnan, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya telah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Wang itu didakwa didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pada sebelah paginya, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Tengku Adnan telah meluluskan penjualan dua lot tanah seluas 4.048 ekar di Bandar Tun Razak kepada Aset Kayamas.

Ab Salim mengesahkan bahawa DBKL dengan kelulusan Tengku Adnan telah bersetuju untuk menawarkan penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur itu kepada syarikat itu.

"Saya merujuk surat JPEPP DBKL kepada Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan bertajuk "Permohonan Nilaian Tanah Milik Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bertarikh 3 Jun 2015.

"Merujuk kepada surat ini saya sahkan pihak DBKL dengan kelulusan YB Menteri Wilayah Persekutuan pada 27 Mei 2015 bersetuju menawarkan kedua-dua lot berkenaan berkeluasan 16,386 meter persegi (4.048 ekar) kepada syarikat berkenaan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.