Kerajan menyasarkan sekurang-kurangnya 100 unit simpanan stok (SKU) termasuk produk berjenama, dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi kerjasama dengan syarikat multinasional serta syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

"Sekurang-kurangnya 50 jenis produk yang akan dijual di KR1M 2.0 adalah barangan hasil kerjasama dengan syarikat multinasional seperti Nestle dan Coca-Cola.

"Semua ini kita akan bincang supaya barangan keperluan harian seperti lampin bayi, susu, air mineral dan susu bayi termasuk barangan keperluan harian juga dapat dipasarkan pada harga lebih murah. Kita bukan hanya jual 50 SKU, sasaran kita melebihi 100 SKU," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang meminta KPDNKK menyatakan bila program KR1M 2.0 ini akan dimulakan semula setelah ditutup untuk sementara waktu dan apakah jaminan oleh kementerian bahawa KR1M 2.0 akan memberi lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran.

Jelas Hamzah, antara strategi pemasaran KR1M 2.0 adalah membuka lebih banyak premis jualan dengan anggaran 3,000 premis pada 2018.

KR1M 2.0 akan mengetengahkan dua konsep perniagaan iaitu operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Ujarnya, fasa pertama pelaksanaan KR1M 2.0 memfokuskan penjualan empat barang keperluan asas iaitu beras, gula, minyak masak dan tepung lebih murah berbanding harga pasaran manakala bagi gas memasak LPG, pihaknya masih mengadakan perbincangan untuk mendapatkan harga sesuai.