Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus komited dalam mengukuhkan hubungan dua hala termasuk kepentingan meneruskan kerjasama berkaitan pendidikan tinggi bersama Amerika Syarikat (AS).

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu turut menyentuh perkongsian Malaysia dalam menangani penularan pandemik COVID-19 khususnya dalam aspek pengajian tinggi.

"Malam semalam saya bersama-sama pengurusan tertinggi KPT menerima panggilan persidangan video dari Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir.

"Duta Besar Kamala ketika ini berada di AS dan saya berkongsi mengenai cara Kerajaan Malaysia menangani penularan COVID-19 berkaitan pendidikan," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya di sini pada Khamis.

Sumber Facebook datonorainiahmad

Noraini menambah, perbincangan itu turut menyentuh kesediaan pihak KPT dalam menambah baik Malaysia-American Commission on Educational Exchange (MACEE) seperti penawaran biasiswa dan geran program.