Kementerian Pendidikan Tinggi sedang membangunkan sistem pangkalan data yang menyenaraikan nama pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang sah daripada universiti awam.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, ia usaha mengekang ijazah palsu yang diberi pelbagai pihak tidak bertanggungjawab termasuk yang ditawarkan di internet.

"Pangkalan data yang sedang dibangunan kepada sistem sekarang menyenaraikan semua PhD daripada universiti awam. Buat masa ini KPT ada membuat carian secara manual laman sesawang KPT sehingga tahun 2016 dan sistem ini ada merangkumi pemegang PhD, nama PhD, penerima, tajuk tesis, pecahan kategori, bidang penerima dan tahun graduasi," katanya.

Mary berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiawangsa (BN) Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang ingin tahu langkah dan tindakan diambil kerajaan bagi memastikan kes-kes kelulusan akademik palsu terutama PhD.

Sebelum ini, KPT dalam satu kenyataan memaklumkan akan menubuhkan pejabat pendaftaran bagi semua pemegang PhD di negara ini.

Jelas kenyataan itu, pejabat pendaftaran itu di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi akan secara automatik mendaftar semua lulusan PhD dalam negeri.

Sementara bagi lulusan PhD seberang laut, pengesahan akan didapatkan daripada universiti-universiti berkenaan.

Dalam pada itu jelas Mary, kementeriannya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Polis Diraja dalam kes salah guna gelaran doktor sehingga menyebabkan kerugian ke atas pihak lain.

Beliau juga mahu semua pihak untuk sentiasa menyemak status sijil individu melalui Agensi Kelayakan Malaysia, sekiranya melibatkan institusi di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penipuan PhD merupakan satu kes umum yang boleh berlaku melibatkan mana-mana universiti dan atas sebab itu pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mendapat pandangan menyeluruh sebelum garis panduan berkenaan dapat dikeluarkan.