Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima hampir 4,000 aduan berkaitan harga barangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata peningkatan aduan berkenaan adalah berikutan kesedaran tinggi pengguna dan setakat ini, sebanyak 67,797 pemeriksaan dijalankan ke atas premis di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata laporan media terhadap individu yang dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan turut menyumbang kepada peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan peniaga untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Ia juga menyaksikan setiap peniaga mengambil langkah berwaspada dan mematuhi peraturan yang ditetapkan memandangkan mereka tahu setiap pelanggan yang mengunjungi premis itu mungkin menjadi pengadu.

"Jika pelanggan mendapati ada kesalahan dilakukan seperti tidak meletakkan tanda harga, meletakkan harga melebihi daripada yang ditetapkan dan sebagainya (aduan akan dibuat)," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan pemeriksaan SHMMP Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Besar Seremban.

Yang turut hadir, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Mengulas lanjut, bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 yang akan berakhir 3 Jun ini, beliau berkata sehingga semalam sejak ia dimulakan 20 Mei lepas, 16,976 pemeriksaan dilaksanakan dan 48 kes melibatkan pelbagai kesalahan seperti menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, gagal menggunakan tanda harga khas dan tiada tanda harga, direkodkan.

"Ia membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM10,448.30 dan nilai kompaun RM118,000," katanya.

Belau berkata, skim kawalan harga bagi Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut oleh rakyat Sabah dan Sarawak bermula semalam dan akan berakhir 3 Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Hasnol Zam Zam berkata aduan melibatkan penjualan barangan tiruan seperti baju, kasut dan alat ganti kenderaan berkurangan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Kita akan terus berwaspada apabila kegiatan ekonomi terus dibuka dan saya fikir isu berkaitan barangan tiruan mungkin meningkat namun pegawai kita akan sentiasa bersiap sedia," katanya.