Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa kerja bersama untuk menangani jangkitan novel koronavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan penubuhan jawatankuasa bersama itu dibuat hasil perbincangan beliau dengan rakan sejawatnya di republik berkenaan.

Jawatankuasa kerja bersama ini akan diterajui oleh timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.

“Fokus kerjasama dua hala itu adalah berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan 2019-nCoV ditangani secara berkesan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 1,000 maut

“Saringan dan pengurusan kes rentas sempadan Malaysia dan Singapura.

“Penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat antiviral kepada pesakit yang disahkan positif 2019-nCoV,” katanya pada sidang media harian berkaitan situasi terkini jangkitan novel koronavirus.

Dr Zulkefly juga memaklumkan bahawa jawatankuasa kerja bersama ini juga akan membincangkan tentang nasihat perjalanan bagi rakyat kedua-dua negara.

Sehingga kini, tiada kes baru dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 18 kes.

Kesemua pesakit yang masih ditahan di wad berada dalam keadaan stabil.