Seorang lelaki warganegara China yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan 2019-nCoV Novel Koronavirus telah pulih sepenuhnya.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut KKM, keadaan lelaki berusia 63 tahun itu yang dirawat di wad pengasingan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah bertambah baik setelah diberi rawatan dengan kaedah Symptomatic Treatment.

Dalam masa yang sama, lelaki berkenaan diberikan pengawasan berterusan sepanjang rawatan dan tiada keperluan untuk menggunakan rawatan ubat antiviral dalam tempoh tersebut.

Selain itu, lelaki berkenaan turut menjalani dua ujian ulangan bagi 2019-nCoV yang dijalankan secara berturut ke atasnya pada 7 dan 8 Februari 2020.

Hasil ujian berkenaan, status kesihatan bagi virus tersebut adalah negatif dan pesakit dibenarkan pulang pada petang ini.

Kes ini adalah merupakan kes ketiga berjaya pulih sepenuhnya.

BACA: Kanak-kanak warga China positif koronavirus di Malaysia pulih sepenuhnya

BACA: Koronavirus: Pesakit pernah tenat, kini pulih sepenuhnya

Meskipun keputusannya positif, namun KKM dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus mempertingkatkan lagi kesiapsiagaan dan respon terhadap kejadian jangkitan 2019-nCoV di Malaysia dan akan ambil tindakan sepatutnya bagi menangani wabak ini.

KKM turut memaklumkan walaupun terdapat pelaporan kes positif jangkitan 2019-nCoV di Malaysia dari semasa ke semasa, namun setakat ini, ia masih lagi terkawal.

Setakat ini tiada sustained human-to-human transmission dan tiada kes-kes terpencil yang dilaporkan.