Kerajaan memberi jaminan akan membawa pulang sejumlah kakitangan kedutaan serta agensi berkaitan yang masih berada di China susulan penyebaran wabak koronavirus baharu (2019 nCov).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mereka terdiri daripada kakitangan tidak berkeperluan (non-essential staff) termasuk ahli keluarga serta tanggungan.

“Ia bagi memininumkan risiko pendedahan yang dilalui oleh pegawai dan kakitangan serta keluarga Malaysia yang berada di republik rakyat China.

“Mana-mana kerajaan yang berdepan dengan krisis tersebut akan mengambil langkah-langkah perlu untuk menjamin keselamatan pegawai dan kakitangan serta keluarga yang berada di tempat tersebut dan dalam hal ini yang berada di China,” katanya pada Jumaat.

BACA: Kakitangan Wisma Putra, agensi di China akan dibawa balik - Saifuddin

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan 10 buah ambulans ke Gaza di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), di sini.

Ditanya mengenai bila pesawat khas tersebut akan diterbang bagi membawa pulang rakyat Malaysia, Saifuddin berkata, ketika ini kerajaan masih belum memuktamadkan perkara itu.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Lebih 600 maut di seluruh dunia

“Ini menggunakan pesawat normal komersial yang masih ada. Namun, (tempoh) kita belum tentukan,” katanya.

Mengikut rekod, selain Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, terdapat lapan lagi pejabat konsulat di seluruh China iaitu di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai, Xi'an dan Taipei.

BACA: Koronavirus: 41 lagi penumpang kapal persiaran positif


Sejumlah 34 orang pegawai dan kakitangan Wisma Putra bertugas di seluruh China selain 52 pegawai dan kakitangan agensi-agensi berkaitan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tourism Malaysia dan lain-lain lagi.

Selain itu, sejumlah 212 tanggungan mereka turut berada di sana yang menjadikan keseluruhan 298 orang.

Setakat ini, dilaporkan terdapat 27,636 kes koronavirus di seluruh dunia dengan jumlah kematian keseluruhan mencecah lebih 600 orang, di seluruh dunia.

Di Malaysia, terdapat 14 kes yang dikesan positif koronavirus.