Jenazah mangsa virus Zika, Leftenan Muda (M) Mohamad Ikmal Ibrahim akan diterbangkan menggunakan pesawat AgustaWestland Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dijangka tiba di Kuantan jam 4.30 petang ini.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa jenazah akan diterbangkan selepas solat Jumaat dari Hospital Manjung ke Kuantan untuk dibawa ke rumah warisnya di Taman Rasau Perdana Jalan Kuantan Pekan di sini.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Ahmad Shah Singai Isap. Itu maklumat awal yang diterima setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Allahyarham Leftenan Muda (M) Mohamad Ikmal, 30, merupakan korban pertama akibat virus Zika di negara ini tahun ini dan merupakan kes kesembilan dilaporkan sejak empat tahun lalu yang mana lapan kes berlaku pada 2016.

Allahyarham yang bertugas di KM Nusa Maritim Terengganu dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4.45 pagi tadi selepas dimasukkan ke wad Hospital Manjung pada 12 Oktober lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu, Siti Salbiah Roslie dari Rejimen Askar Jurutera Diraja.