Kerajaan perlu memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular kerana ia tidak memupuk perpaduan yang sepatutnya di negara ini, tegas pembentang resolusi untuk Kluster Pendidikan, di Kongres Maruah Melayu, hari ini.

Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata, selain itu, kerajaan harus terus komited kepada agenda perkasakan sekolah kebangsaan.

Ini kerana, jelas beliau, hanya sekolah satu aliran sahaja yang dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional di kalangan generasi seterusnya, yang bakal mewarisi negara ini.

“Jika kita lihat isu berkaitan mengenai sekolah vernakular, sebenarnya ia tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk perpaduan.

“Di setiap sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, mereka menggunakan bahasa pengantar berbeza.

“Oleh sebab itu resolusinya, pemansuhan sekolah vernakular dalam tempoh enam tahun bertepatan kerana pendidikan telah dikenalpasti sebagai satu kunci utama kepada alat penyatuan perpaduan,” katanya sewaktu membentang resolusi di Kongres Maruah Melayu, di sini hari ini.

Selain Kluster Pendidikan, resolusi lain yang turut dibentangkan di kongres itu adalah di bawah Kluster Agama, Budaya, Politik, dan Ekonomi.

Nurul Fatin Aqilah berkata, ianya boleh dilakukan dalam tempoh enam tahun sahaja jika kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan.

“Gunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada tahun 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya, sehingga 2026. Menjelang tahun 2026, semua sekolah menjadi satu aliran,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu Nurul Fatin Aqilah berkata, resolusi itu turut mencadangkan agar Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ‘dipulangkan’ kepada anak Melayu dan Bumiputera melalui sistem Sijil Pelajaran Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, Petronas dan Bank Rakyat juga harus mengkhususkan pemberian biasiswa mereka kepada golongan berkenaan sahaja.