Rakyat diminta membezakan elemen yang termaktub di dalam Akta Hasutan ketika mengeluarkan komen.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakyat juga perlu sentiasa berwaspada dalam menimbulkan sebarang kenyataan agar tidak menimbulkan sifat kebencian kepada kerajaan.

"Kalau hasutan dibuat ada kena mengena dengan perkara termaktub di dalam Akta Hasutan, maka ianya satu kesalahan.

"Kalau membuat apa-apa komen tetapi tidak ada kaitan dengan peruntukan di dalam Akta Hasutan, ia tidak ada masalah.

"Komen haruslah tidak menimbulkan benci kepada Raja, tidak mendatangkan pergaduhan, kebencian kaum dan tidak menyentuh perkara itu, maka ia bukan hasutan, tetapi kalau sentuh perkara itu, semua harus sedar ia merupakan satu kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa mengulas penahanan beberapa pengarang portal The Malaysian Insider (TMI) pada Isnin di bawah Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, pada Selasa, penerbit The Edge Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutif portal berita TMI Jahabar Sadiq juga ditahan polis di bawah Akta Hasutan berhubung laporan tentang undang-undang jenayah Islam atau hudud.

Penahanan itu turut mendapat reaksi Centre for Independent Journalism (CIJ) yang menyifatkan polis perlu segera melepaskan semua tahanan berkenaan kerana ia merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

Gerakan Media Marah (GERAMM) turut mengutuk tindakan polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita TMI yang disifatkan sebagai tindakan keterlaluan polis terhadap media.

Dalam pada itu, kata Musa, media harus sentiasa tahu etika penulisan dan tidak mendatangkan masalah kepada agensi penguatkuasaaan.

"Saya merasakan bahawa orang media tahu bila dia menulis perlu mematuhi etika supaya tidak menghasut dan tidak timbulkan masalah.

"Media kena adil, jangan cuba lapor perkara yang tidak betul dan menyentuh imej mana mana pihak," jelasnya.

Ketika mengulas kenyataan CIJ dan GERAMM, Musa menjelaskan: "Mereka boleh perjuangkan kebebasan bersuara, namun perlu faham ia tidak mutlak dan tidak menyentuh elemen dalam akta hasutan.

"Kalau hendak komen kerajaan boleh, tapi jangan cuba timbulkan kebencian rakyat kepada sesebuah organisasi."

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Namun pada hujung tahun lalu, beliau mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 malah memperkukuhkannya agar ia lebih berkesan.