SECARA persepsi - komuniti buku, pemain industri dan penulis menganggap - tugas mempromosi Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 tanggungjawab kerajaan.

Relatifnya dilihat sebagai tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai hos acara ini.

Kuala Lumpur dipilih sebagai WBC ke-20 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) pada sesi pemilihan 2018.

Status DBKL mewakili Kementerian Wilayah Persekutuan.

Seterusnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku entiti utama yang mewakili Kementerian Pendidikan yang juga pemegang hak bersama KLWBC 2020.

Apabila perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan, pembabitan Kementerian Pendidikan menjadi lebih eksklusif dan berganda.

Ini kerana status Dr Mahathir selaku ketua kerajaan dan merangkap pengerusi bersama KLWBC 2020.

Kurang 80 hari menuju tarikh Festival Pengisytiharan KLWBC 2020 pada 18 April hingga 23 April, tugas promosi kini satu keutamaan.

Masyarakat kelihatan belum menyedari kewujudan KLWBC 2020 serta impaknya terhadap kehidupan harian mereka.

Malah, masyarakat masih tertanya-tanya: Apa hala tuju KLWBC 2020 terhadap senario membaca di negara ini?

Justeru, KLWBC 2020 memerlukan rantaian rakan promosi.


Membina ikatan demi mempromosi KLWBC 2020

Satu ikatan kebersamaan amat penting dalam melaksanakan tanggungjawab mempromosi acara bersejarah ini.

Kita bimbang program antarabangsa ini gagal menjadi agenda negara serta memberikan kesan kepada masyarakat.

Tugas mempromosi KLWBC 2020 tidak wajar dilihat sebagai tugas berorientasikan soal ringgit dan sen semata-mata.

Manfaat dan matlamat program ini secara menyeluruh ialah melaksanakan tanggungjawab untuk meningkatkan literasi ilmu melalui pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pemegang taruh utama dalam industri perbukuan dan kempen pembacaan, tidak wajar bersikap tunggu dan lihat; apa lagi bekerja sekadar melepas batok di tangga.

Adalah tidak adil menjadikan KLWBC 2020 sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Penulis, persatuan penulis, media massa dan komuniti perbukuan wajar mengambil tanggungjawab bersama.


Melihat KLWBC 2020 sebagai milik bersama

Komuniti buku sama ada penerbit, persatuan penulis atau penulis sendiri masih bersikap dingin.

Proses berkongsi jaringan tanggungjawab kini masih terhad. Sekali pun semangat untuk berkongsi bahan publisiti di media sosial.

Konsep KLWBC 2020 sebagai "pemilikan tanggungjawab secara kolektif" masih berada pada tahap yang rendah.

Ada yang tampil menawarkan kerjasama. Tetapi, soalan pertama: "Berapa RM bayarannya?"

Sekali untuk untuk berkongsi posting, nilai RM dijadikan ukuran pertama.

Wang menjadi jurubicara yang menyukarkan proses menjadikan KLWBC 2020 tangggungjawab kolektif.


Terima kasih Muhamad Sinatra

Muhamad Sinatra, penulis dan penganalisis Polisi Asing dan Kajian Keselamatan, Institut Kajian Strategik Antarabangsa, memulakan kempen peribadi di akhbar New Straits Times.

Muhamad melihat KLWBC sebagai tanggungjawab dirinya sebagai peminat buku, pemikir sosial dan strategis komunikasi.

Kolumnis akhbar berbahasa Inggeris ini kelihatan sangat prihatin dan mengharapkan KLWBC 2020 diwarwarkan seluas mungkin.

Pertanyaan dan persoalan Muhamad mengenai strategi promosi KLWBC 2020 berubah menjadi publisiti.

Artikel Muhamad yang disiarkan di NST pada 27 Artikel Muhamad yang disiarkan di NST pada 27 Januari lalu, membantu pembaca elit menyedari kewujudan KLWBC 2020.

Kita perlu terus mempromosikan KLWBC 2020. Kalau mahu menuai hasil, perlulah gigih menyemai benih.



* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.