Hasil ujian makmal mendapati Kluster Tawar mempunyai mutasi D614G.

Justeru, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga berkemungkinan besar daripada sumber yang sama.

Jelasnya, ia berikutan hasil ujian 14 sampel yang diambil bagi tujuan full genome sequencing mendapati sebahagiannya terdapat mutasi D614G.

"Sebanyak 14 sampel telah diambil bagi tujuan full genome sequencing dan sebanyak empat sampel mendapat virus untuk kajian sequencing ini. Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

"Virus Kluster Tawar ini (empat sampel) telah dibandingkan dengan virus daripada Kluster PUI Sivagangga (tiga sampel).

"Hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada kumpulan yang sama. Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber yang sama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.