Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring sebanyak 262 orang membabitkan Kluster Sivagangga.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah daripada jumlah itu, lapan kes dikesan positif COVID-19 manakala 251 kes negatif dan tiga lagi kes menunggu keputusan.

"Daripada lapan kes positif, lima orang adalah bukan warganegara Malaysia. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (active case detection) adalah masih diteruskan," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Selasa lalu, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wujud kluster Sivagangga di Kedah yang membabitkan pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai itu.

Susulan itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan pemantauan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah COVID-19 dipertingkatkan di seluruh negeri, khususnya Kubang Pasu yang menjadi lokasi kluster berkenaan.