Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang Kluster Sivagangga di Kedah berkemungkinan merupakan super spreader yang berkait dengan Genom 614 dari Mesir dan Pakistan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, kajian teliti perlu dibuat memandangkan kluster tersebut merebak dengan sangat cepat berbanding sembilan kluster aktif yang lain.

“Yang kita lihat sekarang kluster PUI Sivagangga, kluster ini merebak dengan cepat dibandingkan sembilan kluster di Sarawak dan sebagainya.

“Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi satu kluster iaitu Genom 614, iaitu kluster super spreader.

Super spreader ini telah dimaklumkan kepada kementerian iaitu dari Mesir, dan juga Pakistan. Besar kemungkinan ini mungkin adalah satu kluster super spreader tetapi kita kena laksanakan ujian teliti,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Astro AWANI pada 28 Julai lepas melaporkan dua kluster baharu COVID-19 dikenal pasti di Kedah dan Sarawak membabitkan sembilan individu dikesan positif, setakat ini.

Menjelaskannya, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks pertama bagi Kluster Sivagangga, India merupakan seorang pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu (kes ke-8,937).

Begitupun katanya, saringan COVID-19 di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif dan individu itu telah diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Namun individu itu tidak mematuhi syarat perintah itu dan kini di dalam tindakan pihak berkuasa.