Satu kes baharu yang dilaporkan hari ini yang melibatkan Kluster PUI Sivagangga merupakan seorang pelanggan tetap di sebuah kedai makan di Kedah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa telah menjalani saringan COVID-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai 2020 dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody (RT-PCR) didapati negatif.

Bagaimanapun, pada 31 Julai lalu, mangsa mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

"Satu hari kemudian, selepas penglibatan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes telah memaklumkan bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

"Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif COVID-19. Mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan," ujarnya.

Justeru tegas Dr Noor Hisham, masyarakat diingatkan untuk tidak merahsiakan sebarang maklumat penting sekiranya mempunyai sebarang kontak dengan kes positif COVID-19.

"Mengambil iktibar daripada kes ini, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa.

"Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu wujud dalam diri setiap individu agar kita dapat sama-sama membendung penularan jangkitan COVID-19,"jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menjelasakan Kluster PUI Sivagangga ini berpunca daripada kes import.

Selain kluster ini, terdapat beberapa kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO).

Berikut adalah kluster-kluster tersebut;

- Kluster Elsa
- Kluster PUI Novgorod
- Kluster PUI Pitakwa
- Kluster PUI Melbourne
- Kluster PUI Ramnad
- Kluster PUI Al Khobar
- Kluster PUI Shirala


Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut menggesa agar pihak terlibat untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan proses saringan kontak rapat dilakukan.

"KKM juga menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya.

"Seperti yang telah diumumkan Menteri Kanan Pertahanan dalam sidang media beliau sebentar tadi, kerajaan telah mewajibkan penggunaan aplikasi ini di semua premis bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif COVID-19," katanya.