Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mahu lebih banyak filem dan drama yang memaparkan sejarah pejuang pada zaman Kesultanan Melayu dan pejuang kemerdekaan dihasilkan, bagi terus melahirkan semangat patriotik dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata untuk itu kementerian bercadang mewujudkan program "Road to Oscar" agar filem dan drama tempatan seperti itu dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita mahukan pengarah dan pelakon muda yang baharu untuk dapat diketengahkan untuk dapat menghasilkan filem dan drama melalui program ini.

"KKMM akan membantu mereka untuk menghasilkan filem dan drama, yang kita mahukan ia mampu mendapat sambutan baik di luar negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Merdeka@Komuniti di sini.

Sehubungan itu katanya pihak kementerian telah mangadakan perbincangan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melihat bagaimana RTM dapat membanyakkan siaran filem dan drama seumpama itu di kaca televisyen.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

"Penggiat filem dan drama boleh menghasilkan filem dan drama kisah-kisah pejuang terdahulu dan boleh memperbetulkan kembali pengkisahan sejarah mereka yang sebenar seperti kisah Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tun Perak dan Hang Tuah," katanya.

Beliau berkata bagi membolehkan semua kaum dapat menghayati cerita berkenaan, filem dan drama itu boleh disiarkan dalam alih bahasa tertentu seperti Cina serta India, dan sekaligus semua kaum boleh merapatkan perpaduan melalui cerita berkenaan.

Zahidi juga turut menggesa penggiat filem dan drama animasi agar melahirkan cerita-cerita berbentuk dakwah yang boleh dipasarkan ke luar negara juga.

-- BERNAMA