Sebanyak 14 buah rumah panjang di Tanjung Penasu terlibat dalam Program Pembudayaan Normal Baharu dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Selasa.

Program yang pertama kali diadakan bersama komuniti ini melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar iaitu di perkampungan dan rumah panjang di Sarawak.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad berkata, program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Kita memulakan kempen ini dengan memasuki kampung-kampung dan bertemu dengan komuniti di mana ketua kampung akan memainkan peranan untuk sama-sama memberi maklumat mengenai perkara ini kepada penduduk tempatan," katanya.

Suriani berkata demikian selepas merasmikan program pertama Pembudayaan Normal Baharu: Putuskan Rangkaian COVID-19 di Rumah Panjang Akat Akong di sini pada Selasa.

Jelasnya KKMM merancang sekurang-kurangnya tiga aktiviti di dalam satu daerah dengan anggaran 153 daerah di seluruh Malaysia merangkumi 459 program seluruh negara.

Kesemua program tersebut akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2020 dan mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain.