Penggunaan kit ujian pantas (RTK) antibodi di klinik swasta bagi saringan pekerja untuk kembali bertugas tidak disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Semasa sidang media harian KKM Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham menegaskan bahawa, ujian bagi mengesan virus COVID-19 adalah ujian berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ataupun ujian RTK Antigen, pada Isnin.

Menurutnya, ujian serologi RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari (finger prick) tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection).

Tambahnya, kedua-dua ujian tersebut memerlukan pengambilan swab nasofarinks (NPS) oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC).